Uqasha Senrose nafi cari publisiti, beli rumah demi masa depan anak

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Uqasha Senrose, tampil mempertahankan tindakannya membeli rumah sendiri selepas berdepan pelbagai kritikan serta pertikaian daripada warganet di media sosial.

Menerusi satu hantaran di Threads, Uqasha meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak mempersoalkan keputusannya mengumpul wang serta mendapatkan publisiti sebelum memiliki kediaman.

“Ya rabbi, diam dengan kumpul duit dan publisiti? Apa kena mengena dengan beli rumah? Buat andaian pun pakai otak, Allah bagi akal dekat manusia untuk berfikir,” tulisnya.

Menurutnya, pembelian rumah tersebut dilakukan menggunakan rezeki serta usaha sendiri tanpa melibatkan sebarang unsur yang tidak berkat.

Uqasha menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat demi menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk membesarkan anak-anaknya, dan bukan atas tujuan lain.

“Sekurangnya saya beli rumah sendiri dengan duit rezeki saya sendiri, tenaga yang Allah izinkan. Siapa awak nak pertikaikan keberkatan? Awak nak buat kerja Allah?.

“Saya cari tempat untuk besarkan anak saya. Tak ada timbang rasa ke? Tak ada ehsan ke? Saya curi duit orang ke?” luahnya lagi.

Tambahnya, setiap perjalanan hidup seseorang adalah berbeza dan yang penting adalah kebergantungan kepada Tuhan.

“Kalau saya merentan awal ke, akhir ke, yang penting Allah ada dan Allah tunjuk jalan.

“Setiap apa yang berlaku, ada hikmah dia. Saya hanya manusia biasa, tak lepas daripada buat kesilapan, dan dari situ kita belajar untuk jadi orang lebih baik, insya-Allah. Doa yang baik-baik,” kongsinya.

Baca juga: Ibu terkedu, pemandi jenazah anak dakwa arwah meninggal awal sebab nama tiada makna