Wanita panik samping suami kecut lepas masuk dalam mesin basuh, minta tips baiki semula

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila mendapati kain samping milik suaminya terus bertukar ‘rupa’ selepas pakaian tersebut dicucinya dengan menggunakan mesin basuh.

Merasa cukup khuatir memikirkan reaksi suami sekiranya mendapat tahu mengenai kejadian tersebut, sang isteri memutuskan untuk mencari cara bagi menyelamatkan kain samping itu.

Wanita itu bertindak memuat naik rakaman memaparkan keadaan kain tersebut di platform TikTok dengan harapan orang ramai dapat memberikan sebarang cadangan untuk mengembalikannya ke bentuk asal.

Menerusi rakaman berdurasi lapan saat itu, dapat dilihat keadaan kain yang sepertinya sudah rosak dan tampak mengecut serta berkedut mungkin kerana tidak sesuai untuk dicuci menggunakan mesin basuh.

“Tolong aku weh. Aku cuci samping suami, selepas itu jadi macam ini. Macam mana nak buat agar samping ini lurus balik? Matilah aku. Kenapa jadi macam ini,” katanya yang sudah panik dalam perkongsian tersebut.

@delishaurelia87

Macam mana nk bg sampin nie lurus balik!! Mateeii la aku..knp jadi mcm nie..😭😭😭😭

♬ Eh eh eh eh ehh ehhhhh ehhhhh – Ako si Mon

Menurut wanita terbabit, kain yang dibeli bersama suami di Negeri Sembilan itu sukar untuk dicari ganti berikutan dirinya kini berada di Labuan membuatkannya berusaha mencari cara bagi menyelamatkannya.

Namun perkara mencuit hati adalah pengakuan daripada sang isteri yang terpaksa menyembunyikan dahulu kain samping tersebut sambil mencuba satu per satu kaedah dicadangkan oleh para pengguna TikTok.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 3.3 juta tontonan dan 92,100 tanda suka daripada pengguna platform itu yang mana rata-ratanya memaklumkan bahawa samping diperbuat daripada kain songket tidak boleh dicuci menggunakan mesin basuh.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan cara sebenar menurut mereka untuk mencuci kain tersebut termasuk dibasuh secara manual menggunakan tangan mahupun dihantar ke dobi bagi proses ‘dry-cleaning’ atau teknik pencucian kering.

Beberapa individu yang merupakan bekas pekerja dobi turut tidak ketinggalan memberikan pendapat bahawa samping tersebut masih boleh diselamatkan dengan menggunakan seterika namun kejadian sebaliknya akan berlaku jika kain itu diperbuat daripada songket tulen.

Berikut adalah beragam komen ditingalkan pengguna TikTok mengenai kejadian tersebut.

Baca juga: Isteri asyik merungut beli sup bunjut tak cukup, sekali suami bawa balik sepapan – “Boleh masak tiap hari”