Warga asing kantoi pinjam MyKad orang pergi hospital, terdiam bila disoal nama ayah

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian daripada kakitangan hospital mengenai tindakan warga asing meminjam kad pengenalan (MyKad) daripada rakyat tempatan untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, kakitangan terbabit meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga dokumen identiti diri.

Hal ini berikutan perbuatan meminjamkan MyKad kepada orang lain bukan sahaja salah dari segi undang-undang malah boleh mengundang masalah yang lebih besar di kemudian hari jika terjadi sesuatu kepada warga asing itu.

“Kemungkinan guna kad pengenalan majikan atau kawan untuk mendapatkan rawatan. Kantoi apabila kita bertanya nama ayah, no MyKad dan tarikh lahir. Langsung tak boleh jawab. Dialek macam Bangladesh atau Rohingya, tetapi daftar etnik Malaysia.

“Kantoi busuk macam itu sahaja. Tolong rakyat Malaysia. Bertanggungjawab sedikit. Jangan benar warga asing terutama pendatang tanpa izin (PATI) ataupun pelarian guna MyKad anda. Sayang sangat mereka, kenapa? Memang menyirap juga.

“Sudahlah bersepah warga asing tak lunaskan bil hospital. Malah jika pesakit itu mati, tak pasal-pasal pemilik MyKad diisytihar meninggal dunia. Segala aset dan akaun bank dibekukan. Sedangkan anda masih hidup lagi,” kesal kakitangan terbabit.

Kakitangan itu memaklumkan bahawa kejadian tersebut kini sedang berada di dalam siasatan pihak berkuasa dan unit hasil juga sudah mengambil maklum berhubung berlakunya kes penipuan.

Dalam perkongsian sama, kakitangan itu juga menyeru agar mereka yang bekerja dalam bidang perubatan untuk tidak lepas tangan sebaliknya membuat laporan kepada pihak berkuasa jika kejadian serupa berlaku.

“Sudah jadi kes polis dan unit hasil juga sudah mengambil maklum sebab dianggap MENIPU KERAJAAN MALAYSIA. Tak payah beria sangat pinjamkan MyKad kepada warga asing. Biar mereka bayar bil hospital. Kenapa pula mereka nak nikmati hasil cukai?

“Kepada rakan sekerja di bidang perubatan, tolonglah ada rasa tanggungjawab untuk selidik (latar belakang pesakit). Kalau semua benda nak lepas tangan di atas alasan malas nak ambil tahu, risau esok lusa warganegara kena sepak terajang dengan warga asing.

“Sebab sudah menjajah Malaysia dalam diam. Sebab sikap ambil mudah dan lalai. Saya beritahu awal-awal, pesakit tadi itu cedera sebab mempertahankan diri ketika bergaduh dengan kawan-kawan dia. Jadi fikir-fikirlah sebelum nak rasa kasihan.” Ujarnya dalam hantaran itu.

Baca juga: Remote aircond ‘lesap’, rupanya suami bawa pergi kerja setiap hari