Perkongsian seorang ibu tentang sikap segelintir tetamu yang pentingkan diri sendiri dalam majlis akikah diadakan buat anaknya telah mencuri perhatian orang ramai baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tular yang dimuat naik di platform Threads itu, wanita terbabit memaklumkan bahawa dua ekor kambing berkenaan disediakan untuk dijamu oleh sekitar 200 sehingga 230 tetamu.
Namun sayangnya hidangan tersebut habis dengan cepat memandangkan segelintir tetamu bertindak membawa pulang juadah itu buat keluarga mereka sendiri sehingga tidak tersisa untuk ‘orang belakang’.
Kejadian itu menyebabkan wanita terbabit merasa geram dan meluahkan kekesalan di akaun media sosial Threads miliknya mengenai sikap bertimbang rasa tetamu majlis berhubung hidangan makanan.
“Pengalaman di majlis akikah anak. Tetamu pula sejenis bawa balik makanan semasa majlis sedang berlangsung. Masalahnya yang dibawa balik itu adalah lauk kambing golek. Tiba-tiba datang seorang demi seorang mak cik.
“Mereka jumpa mak untuk meminta izin nak bawa balik. Salah satu alasannya nak beri anak makan dekat rumah. Macamlah anak mereka itu tak pernah makan kambing. Geram pulak kita.
“Memang sudah jangka kambing golek ini jadi tumpuan utama. Tetapi kasihanlah kepada orang yang datang lewat sedikit. Mereka tak dapat makan langsung. Belum yang ambil pencuci mulut sampai penuh pinggan,” kesalnya.
Dalam perkongsian sama, wanita terbabit mengakui tidak mahu ‘berkira-kira’ namun berpendapat bahawa tetamu sepatutnya memikirkan orang belakang juga dalam menikmati hidangan di mana-mana majlis.
“Terus cakap dekat mak, selepas ini kalau nak buat majlis dan jamu kambing golek lagi kena pesan dekat tukang hidang yang makanan itu tidak boleh dibawa balik. Oh ya, kambing golek itu mak yang bayarkan.” Ujarnya lagi.
Baca juga: Digigit lintah, budak 7 tahun alami pendarahan dikejarkan ke hospital