Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil menjawab persoalan mengenai aktiviti ‘Secret Santa’ di pejabat melibatkan pekerja Islam yang hangat dibincangkan di media sosial baru-baru ini.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa umat Islam dilarang untuk menyertai program yang dianjurkan syarikat itu meskipun pekerja langsung tiada niat untuk meraikan Hari Natal.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga menyarankan supaya pekerja berusaha meminta pengecualian dari majikan atas dasar hormat kepada akidah dan keimanan terhadap agama Islam.
“Hal ini kerana menyertai program tersebut boleh menjerumuskan kita ke dalam kancah tohmahan masyarakat Islam, seakan kita sememangnya berniat untuk menormalisasikan sambutan perayaan agama lain.
“Kami nasihatkan agar berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman kita atau mendorong ke arah kekufuran. Ingatlah bahawa seseorang itu boleh jatuh murtad apabila berbuat syirik.
“Syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Semoga keterlanjuran dan kesilapan yang dilakukan kita kerana perkara yang tidak kita ketahui, diampunkan oleh Allah SWT,” katanya dalam hantaran itu.

Perkongsian mengenai isu itu dimuat naik oleh Dr Zulkifli selepas menerima soalan berhubung penyertaan pekerja beragama Islam dalam aktiviti ‘Secret Santa’ yang dianjurkan oleh pihak syarikat.
“Saya ingin bertanya, apakah dibolehkan jika kita menyertai program yang diadakan oleh syarikat seperti Secret Santa? Kita perlu memberi hadiah kepada orang lain, tanpa mendedahkan nama.
“Niat kita hanyalah sekadar untuk memberi hadiah, bukan kepada merayakan sambutan perayaan tersebut. Mohon pencerahan, terima kasih.” Soal individu itu berhubung isu hangat diperkatakan sebelum ini.
Sekadar info, aktiviti Secret Santa adalah satu tradisi Barat yang berakar daripada sambutan keagamaan Kristian khususnya perayaan Krismas selain dikatakan diinspirasi daripada tokoh Bishop atau Uskup Saint Nicholas.
Dalam tradisi tersebut, setiap peserta perlu menyediakan hadiah atau bersikap baik kepada individu tertentu yang dipilih secara rawak dalam satu kumpulan dengan identiti pemberi dirahsiakan.
Baca juga: Netizen kecewa nampak Pekin Ibrahim dan Mona Allen dalam video sambutan Krismas