Netizen kecewa nampak Pekin Ibrahim dan Mona Allen dalam video sambutan Krismas

Oleh MALAYSIADATELINE

Nama pasangan selebriti, Pekin Ibrahim dan Mona Allen kini menjadi topik perbincangan hangat di media sosial selepas kelibat mereka terakam dalam video didakwa memaparkan sambutan perayaan Hari Natal.

Difahamkan, rakaman majlis diadakan secara kecil-kecilan namun cukup meriah tersebut diambil daripada satu sesi siaran langsung dan hantaran Instastory di akaun media sosial milik sahabat pasangan berkenaan.

Tindakan para tetamu termasuk Pekin yang memakai topi Santa Claus disifatkan sinonim dengan perayaan Krismas sambil menari mengelilingi meja juga turut menimbulkan spekulasi orang ramai mengenai akidah mereka.

Mona ataupun nama sebenarnya, Munna Hafiraneza Allen juga dilihat hanya memakai kain batik untuk menutup bahagian kepalanya di mana sebahagian rambut masih dapat dilihat dalam rakaman tersebut.

Mereka juga didakwa melakukan aktiviti bertukar hadiah malah beberapa bungkusan juga sudah tersedia di atas meja sehinggakan orang ramai berpendapat bahawa para hadirin sememangnya menyambut Hari Natal.

Video siaran langsung dan Instastory tersebut kemudian dimuat naik semula di platform Tiktok oleh individu yang berkongsi rasa kecewa dengan tindakan segelintir umat Islam meraikan perayaan tersebut.

@eliyanasufi

Ni baru 1 kumpulan yang tunjuk secara terang-terangan. Diluar sana pasti masih ada ramai lagi yang wallahu’alam sama ada mereka tidak tahu ataupun mereka buat buat tak tahu bahawa kita orang Islam tidak boleh merayakan Hari Natal. Di bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita doa supaya mereka dikurniakan taufiq hidayah oleh-Nya 😢😢😢 Dan paling sedih lagi apabila seseorang yang elok sudah berhijab tapi di perayaan ini sanggup tanggal hijabnya… #fyp #christmas #malaysia #taubat

♬ Bila Tiba – Ungu

“Ini baru satu kumpulan yang menunjuk secara terang-terangan. Di luar sana pasti masih ada ramai lagi yang tidak tahu ataupun buat-buat tak tahu bahawa kita orang Islam tidak boleh merayakan Hari Natal. Wallahu’alam.

“Di bulan Rejab yang mulia ini, marilah kita berdoa supaya mereka dikurniakan taufiq hidayah oleh-Nya. Paling sedih lagi apabila seseorang yang elok sudah berhijab tetapi di perayaan ini, sanggup tanggal hijabnya,” kesal individu itu.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah meraih sebanyak 1.7 juta tontonan daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terkejut dan berkongsi rasa kecewa dengan tindakan pasangan selebriti itu.

Orang ramai juga dilihat meluahkan rasa bimbang kerana melihat banyak rakaman sambutan Hari Natal melibatkan umat Islam di media sosial sejak akhir-akhir ini malah seakan-akan dinormalisasikan oleh segelintir pihak.

“Adui Pekin, kenapa sampai macam ini. Hormat cukuplah dengan berikan ucapan atas asbab silaturahim. Pakai topi, perhiasan dan lain-lain itu untuk agama lain. Kita tak usah sibuk nak ikut,” kesal seorang pengguna.

“Nak komen lebih pun risau sebab kita ada keluarga, anak dan isteri. Harap kita sebagai suami dan ayah ini dapatlah didik isteri dan anak dengan lebih baik. Takut pula tengok macam-macam zaman sekarang ini. Harap dijauhkanlah.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Uqasha Senrose nafi cari publisiti, beli rumah demi masa depan anak