Pasangan selebriti, Pekin Ibrahim dan Mona Ellen tampil menyangkal dakwaan bahawa mereka menyambut Hari Natal seperti yang hangat diperkatakan di platform media sosial baru-baru ini.
Sebaliknya Pekin ataupun nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim mendakwa bahawa video tular tersebut dirakam sewaktu mereka hadir ke majlis sambutan ulang tahun anak kepada teman rapatnya.
Pelakon berusia 44 tahun itu menafikan mereka terlibat dalam aktiviti bertukar hadiah namun hanya mengelilingi meja untuk bermain ‘musical chair’ atau kerusi berirama bersama para tetamu, lapor Harian Metro.
Difahamkan sedemikian timbul selepas penularan video memaparkan Pekin dan Mona menghadiri sebuah majlis diadakan di sebuah kediaman di mana pelakon terbabit dilihat memakai aksesori topi Santa Claus.
“Kami hanya meraikan sambutan hari jadi anak kepada dua rakan. Salah seorang yang diraikan itu bukan Melayu dan beragama Islam. Sebenarnya, saya dan Mona memang memiliki ramai saudara mara yang bukan beragama Islam.
“Kita juga hanya main permainan musical chair dan bukannya bertukar hadiah?,” katanya yang turut bergelar pengarah itu sewaktu menjawab dakwaan tular di media sosial sejak kelmaran memetik laporan Harian Metro.
Sementara itu, Pekin yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkenaan turut meluahkan rasa kesal dengan penyebaran gambar isterinya sewaktu tidak memakai tudung buat seketika dalam majlis tersebut.
Pekin memaklumkan bahawa gambar tersebut dirakam ketika Mona baru sahaja turun daripada kereta selepas sampai ke kediaman berkenaan dan menuju masuk ke dalam rumah tanpa sempat mengenakan hijab.
“Kami baru sampai rumah dan keluar dari kereta untuk ke majlis hari jadi itu dan Mona tengah pegang anak yang sedang tidur. Mana sempat nak pakai tudung? Kami juga tidak tahu kawan Mona buat ‘live’ (siaran langsung) ketika kami sampai.
“Mona sudah cakap kepada kawannya itu untuk alihkan kamera sebab dia tak pakai tudung. Sebab itulah dalam video seterusnya, Mona sudah pakai tudung. Jadi, bagi saya orang yang sebarkan video itu hingga tular lagi munafik sebenarnya.
“Kerana ia boleh timbulkan fitnah dan jawablah dengan Allah di akhirat nanti,” kesal pelakon terbabit berhubung penularan video siaran langsung dan Instastory yang telah mengundang pelbagai spekulasi tentang akidah mereka.
Baca juga: Netizen kecewa nampak Pekin Ibrahim dan Mona Allen dalam video sambutan Krismas