“Hadiah rumah, kereta, klinik cuma content” – Dr Fie kecewa barang dipindahkan tanpa notis

Oleh MALAYSIADATELINE

Bekas isteri kepada penyanyi dan usahawan, Nubhan, iaitu Dr. Afifah Hidayah meluahkan tekanan emosi yang dialaminya.

Ini adalah selepas berdepan pelbagai tindakan mengejutkan melibatkan harta, barangan peribadi dan urusan keluarga, sehingga membuatkan dirinya tidak lagi mampu berdiam diri.

Menerusi beberapa hantaran di Threads, Dr Fie berkata dia berasa seolah-olah dirinya menjadi ‘content’ apabila isu berkaitan dirinya terus timbul hampir setiap minggu, sekali gus menjejaskan emosi dan tenaga mentalnya.

“Bagilah saya bernafas sekejap. Tiap-tiap minggu saya macam tercungap-cungap. Lepas cerai, hal bibik, hal hadhanah, hal hospital, hal cium anak, hal halau rumah.

“Saya sudah sangat letih,” katanya di Threads.

Dr Fie turut mendakwa barangan peribadinya dipindahkan tanpa sebarang notis, termasuk ketika dia berada di luar negara, malah mempersoalkan kehilangan barang berharga miliknya.

“Siapa benarkan barang-barang peribadi saya diusik orang? Kenapa barang-barang saya sahaja dibuang? Barang anak-anak?

“Barang-barang berharga siapa pegang? Duit-duit, emas-emas saya dekat mana? Sekarang tak boleh balik ya. Kita diluar negara. Ya Allah, kejamnya kamu Nubhan.

“CCTV ditutup. Ni tahap kejam tak tahu nak cakap. Orang tak nampak lagi ke? Takkan jadi juara dah sombong mcm ni. Satu malaysia kenal dah jadi untouchable (tak boleh disentuh) ke,” luahnya di Threads.

Situasi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah turut melibatkan ibu bapanya yang terkejut apabila mendapati barangan milik anak mereka berada di rumah tanpa sebarang pemberitahuan awal.

“Ini ke yang orang kata anak soleh. Doa mak yang buat awak banyak rezeki? Awak aniaya ya saya macam ni! Saya masih ada mak ayah. Mana hormat awak dekat org tua saya?

“Kesian ibu ayah. Balik-balik tengok barang anak sendiri sudah tiada di rumah tanpa sebarang notis.

“Maafkan along (Dr Fie), ibu dan ayah. Along tak sangka perkara ini jadi begini. Dulu ibu kutip baju-baju along dia tinggal depan rumah ibu. Hari ni dia buat lagi,” katanya.

Dr Fie turut mendakwa segala harta seperti rumah dan kenderaan berada atas nama bekas suaminya, dan tindakan yang diambil dibuat secara tiba-tiba tanpa perbincangan.

Malah Dr Fie turut menafikan dakwaan bahawa harta yang dimiliki diberikan sebagai hadiah, sebaliknya mendakwa ia dilakukan atas dasar kandungan media sosial semata-mata.

“Sekurang-kurangnya tunggulah harta sepencarian atau bincang elok-elok. Kenapa buat terkejut-terkejut macam ini?

“Tergamaknya buat saya macam ini. Bukan main orang cakap diberi hadiah rumah, kereta dan klinik. Tidak ya dia punya tahap bagi tu semua itu atas dasar ‘content’ sahaja,” jelasnya.

Tambah Dr Fie, dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri demi menjaga aib, namun mengakui tahap kesabarannya kini semakin menipis.

Baca juga: Berdekah tengok billboard Papa Zola guna dialek beberapa negeri, versi Perlis paling tak tahan