Seorang lelaki tidak menyangka kunjungannya ke kedai bundle untuk mencari baju hiking bertukar menjadi ‘durian runtuh’ selepas menemui wang asing di dalam poket pakaian yang dibelinya.
Menerusi perkongsian dimuat naik pengguna Threads, @jassreeyempire, video menunjukkan seorang individu membeli sehelai jaket jenama terkenal The North Face.
Keadaannya yang masih elok seperti baru di kedai bundle (pakaian terpakai) menyebabkan dia tidak berfikir panjang membayar RM50 untuk memiliki jaket berkenaan.
“Rezeki tidak salah alamat! Plan nak cari baju hiking, jumpa brand The North Face terus bayar. Bila check…” tulisnya pada kapsyen video tersebut.
Namun ketika memeriksa poket jaket berkenaan, dia terkejut apabila menemui sekeping wang kertas 50,000 won Korea Selatan bersamaan dengan RM143 jika ditukar ke Ringgit Malaysia.
Wang berkenaan dipercayai tertinggal oleh pemilik asal pakaian itu.
View on Threads
Perkongsian tersebut terus mencuri perhatian ramai netizen yang rata-rata turut berkongsi pengalaman hampir sama membeli pakaian bundle dan menemui wang asing di dalam poket.
“Sama la dengan kawe (saya).. beli bundle seluar cargo. Lepas basuh sekali tengok dalam poket ada 110 yuan.. Kira berbaloi la beli cargo tu RM40, pergi tukar dapatlah RM58,” komen Hafizalawimn.
“Dulu beli seluar bundle dalam seluar ada duit Singapura $20 dua keping, simpan sampai sekarang,” komen Fikri
“Dapat dalam bundle juga, 1,000 won dah lima tahun simpan tak padan nak tukar,” komen Ainna.
Baca juga: Daftar tak sampai 3 minit! Umno sedia terima ahli Bersatu yang dipecat, digantung tanpa syarat