Siapa Ketua Pembangkang? Dewan Rakyat belum terima surat ‘resign’ dari Hamzah

Oleh MALAYSIADATELINE

Surat pemakluman peletakkan jawatan daripada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang masih belum diterima pihak Dewan Rakyat sehingga semalam.

Yang Dipertua Dewan Rak­yat, Tan Sri Johari Abdul menjelaskan bahawa pihaknya sehingga kini masih menunggu maklum balas daripada bekas Timbalan Presiden Bersatu itu.

Perkara ini bagi membolehkan tindakan diambil selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) membuat surat pemakluman mengenai kekosongan jawatan itu, lapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, perkara tersebut menjadi tanda tanya walaupun Hamzah dikatakan sudah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang konon demi menjaga keharmonian gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun memberi jaminan bahawa ‘kekosongan’ jawatan Ketua Pembangkang itu bakal diisi menjelang sidang Dewan Rakyat pada Jun ini.

Sekadar info berdasarkan takwim Dewan Rakyat, mesyuarat kedua bagi penggal kelima Parlimen ke-15 dijangkakan akan mula bersidang pada 22 Jun depan sehingga 16 Julai.

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa jawatan Ketua Pembangkang mungkin akan diberikan kepada wakil Pas mengambil kira kedudukan dominan parti itu dalam gabungan PN.

Antara nama yang dipetik adalah Ahmad Samsuri sendiri selaku Pengerusi PN, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Baca juga: Russia hadiahkan limosin paling eksklusif di dunia kepada Sultan Ibrahim, ini dia kenderaan mewahnya