Pendedahan mengejutkan mengenai kewujudan beberapa individu warga asing yang didakwa telah lama tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa sebarang tindakan undang-undang terus mencuri perhatian ramai.
Menurut seorang individu yang bekerja di KLIA, terdapat seorang lelaki warga asing yang dipercayai telah terkandas di KLIA Terminal 1, Blok Parkir C.
Jelasnya perkara tersebut sudah berlaku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, menjadikan tempoh dia berada di kawasan itu hampir enam tahun.
“Di KLIA 1, Blok Parkir C, ada seorang lelaki warga asing yang sudah ‘stranded’ di sini sejak PKP 2020.
“Sudah hampir enam tahun, tetapi tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadapnya,” katanya dalam tangkap layar yang tersebar di media sosial.
Tambahnya, situasi sama turut melibatkan seorang lagi lelaki warga Afrika yang dikatakan telah berada di kawasan Food Garden KLIA selama lebih dua tahun.
“Ada juga, seorang lelaki warga Afrika di Food Garden pun berada dalam keadaan sama, lebih dua tahun tanpa sebarang tindakan,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia turut menyentuh mengenai seorang wanita yang sebelum ini tular di media sosial.
Dakwanya individu tersebut telah berada di kawasan berlepas (departure) KLIA selama hampir dua tahun dan sering mencetuskan kekecohan dengan penumpang lain.
“Wanita itu pula sudah dua tahun berada di kawasan departure dan sering mencari gaduh dengan penumpang lain.
“Kalau di luar negara, hanya penumpang yang ada boarding pass sahaja dibenarkan masuk ke kawasan terminal.
“Tetapi di Malaysia, mungkin kerana kita masih dianggap selamat, kes seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Dalam masa sama dia memaklumkan bahawa kewujudan individu-individu ini jarang diketahui orang awam dan hanya disedari oleh kakitangan yang bekerja di KLIA.
“Kes-kes begini memang wujud, cuma orang awam tidak tahu. Hanya mereka yang bekerja di KLIA sahaja tahu kewujudan individu-individu ini,” ujarnya.
Baca juga: Gadis balik kerja malam terharu pemandu e-hailing prihatin, tunggu naik rumah baru jalan