Menteri Besar Perlis yang baru sahaja dilantik, Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 setiap bulan sejurus memulakan tugas pertamanya pada hari ini.
Difahamkan, langkah permotongan itu juga dilaksanakan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dirombak dan dilantik selepas ini melibatkan jumlah RM1,500 sebulan bagi setiap seorang.
Abu Bakar memaklumkam bahawa pemotongan gajinya bersama barisan EXCO baharu selepas ini dibuat sebagai usaha untuk mengembalikan semula ekonomi kepada rakyat dan negeri, lapor Berita Harian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu berkata sedemikian selepas mengadakan Sesi ‘Clock-In’ Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra di Kangar, hari ini.
“Saya melihat begini, kita kena berikan khidmat kepada negeri, kepada rakyat kerana ada rakyat di negeri ini yang sukar untuk mencari wang sekurang-kurangnya RM500 sebulan, nampak berat buat mereka.
“Jadi saya dengan rela hati membuat pemotongan ini supaya rakyat boleh melihat kita bersama mereka. Ini adalah antara pengorbanan yang cuba kita buat untuk memajukan negeri.
“Keadaan ini akan beralih apabila keadaan ekonomi kita berjalan elok, sempurna dan sebagainya, kita tengoklah nanti,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis memetik laporan Berita Harian.
Dalam sesi tersebut, Abu Bakar turut dilihat merekodkan cap jari miliknya pada mesin rekod masa bagi memulakan tugas pertamanya sebagai Menteri Besar di Pejabat Menteri Besar Perlis hari ini.
Turut hadir ketika itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; Penasihat Undang-Undang Negeri; Yang Zaimey Yang Ghazali dan Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan.
Sekadar info, Abu Bakar dilantik menggantikan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli yang meletakkan jawatan Menteri Besar pada Khamis lalu susulan tiga ADUN PAS diberhentikan keahlian parti secara serta-merta.
Beliau yang merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Perlis itu menjadi Menteri Besar pertama daripada partinya bagi negeri tersebut susulan mengangkat sumpah di Istana Arau, semalam.
Terdahulu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Rabu lalu mengumumkan keahlian tiga ADUN PAS dalam parti itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) dikenakan tindakan tersebut selepas didapati menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan kepada Mohd Shukri.
Baca juga: “Apakah retak menanti belah?” – Naib Presiden PAS