Kes mayat dalam beg: Teman lelaki Suri Narudin hadapi tuduhan bunuh

Oleh MALAYSIADATELINE

Suspek utama dalam kes pembunuhan Suri Narudin yang mayatnya ditemui dalam beg di kawasan Pedas, Rembau pada 18 Disember lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Zainizan Zainal, 51, yang dipercayai merupakan teman lelaki mangsa hanya mengangguk faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Namun tiada pengakuan daripada tertuduh direkodkan di Mahkamah Majistret Tampin hari ini memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Buletin TV3.

Terdahulu, tertuduh yang memakai seluar jeans bersama kemeja-T lengan pendek berwarna kelabu tiba di mahkamah dengan menaiki kenderaan polis dan diiringi anggota Pasukan Siasatan Jenayah (CID) kira-kira pada jam 8.25 pagi.

Berdasarkan pertuduhan, Zainizan didakwa membunuh Suri, 53, di kawasan belakang sebuah kediaman di Jalan Pedas Linggi, Rembau dalam kejadian berlaku di antara 7 Disember hingga 18 Disember lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi yang memohon satu tarikh baharu bagi mendapatkan keputusan penuh bedah siasat serta meminta tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Dalam prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan menunggu laporan penuh bedah siasat serta forensik.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan dalam tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.

Sekiranya tidak dijatuhkan dengan hukuman gantung sampai mati, maka tertuduh hendaklah dihukum dengan dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika disabitkan kesalahan.

Baca juga: Cap jari sepadan! Mayat dalam beg ditemui ditanam di Rembau sah milik Suri Narudin