Perkongsian seorang pemuda mengenai pengalamannya mendirikan solat Subuh berjemaah di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) di Seremban telah mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads, pemuda tempatan itu mengakui bahawa pengalaman berkenaaan menjadi istimewa apabila para jemaah diimamkan oleh seorang lelaki Bangladesh.
Hal ini kerana bacaan lelaki Bangladesh yang dipercayai merupakan pekerja R&R tersebut dikatakan sangat indah untuk didengari sehinggakan pemuda itu terasa seperti sedang mendirikan solat di Tanah Suci Makkah.
“Mamat Bangladesh yang mengimamkan solat Subuh di R&R Seremban tadi, kau memang buatkan aku terbayang macam solat dekat Makkah. Dari bacaan, takbiratul ihram, sampailah bagi salam. Macam imam Masjidil Haram!
“Aku rasa dia bekerja dekat R&R itu tengok dari jaket yang dipakainya. Sempat tanya dia orang mana sahaja. Puji cakap dia baca macam imam Makkah. Dia cakap Alhamdulillah, sambil senyum,” kongsinya.
Pemuda terbabit berpendapat bahawa para jemaah lain turut berkongsi perasaan sama dengannya berdasarkan layanan mereka terhadap lelaki Bangladesh berkenaan selepas selesai mengerjakan ibadah solat.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads tidak menafikan bahawa ramai warga Bangladesh dan Pakistan yang bekerja di Malaysia memiliki latar belakang agama kuat.
Ramai juga pengguna berpendapat bahawa pengalaman yang dialami oleh pemuda terbabit telah menunjukkan keindahan Islam dalam beribadah yang tidak mementingkan pangkat, harta mahupun warganegara.
“Islam itu indah apabila dilihat dengan cara ini terutama melibatkan ibadah solat. Segala pangkat, harta, rupa, pendidikan, taraf hidup dan kewarganegaraan tolak tepi. Paling layak jadi imam adalah yang paling bagus bacaan al-Qurannya,” kata seorang pengguna.
“Rakyat Bangladesh dan Pakistan ini ramai sebenarnya Hafiz Al-Quran malah ada yang lebih Alim lagi. Tetapi disebabkan ekonomi di negara mereka tidak baik, terpaksalah bekerja sebagai buruh dekat Malaysia ini.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: “Mungkin antara mereka soleh, doanya diangkat Allah” – Lelaki kongsi kisah jumpa jemaah tabligh