“Mungkin antara mereka soleh, doanya diangkat Allah” – Lelaki kongsi kisah jumpa jemaah tabligh

Oleh MAISARAH AISYA

Ada segelintir masyarakat yang kurang selesa dengan kehadiran anggota tabligh yang datang dari rumah ke rumah.

Terutamanya atas faktor privasi, kesibukan harian dan pendekatan yang dianggap mengganggu masa peribadi.

Bagaimanapun menerusi Threads, @rusydi_rosl tampil berkongsi pengalaman menerima kunjungan jemaah tabligh ke rumahnya.

Rusydi berkata kejadian itu berlaku ketika dia baru sahaja tiba di rumah selepas memandu dari Kuala Lumpur ke Nilai dalam keadaan penat, selain waktu Maghrib yang hampir menjelang.

Menurutnya, jemaah berkenaan hadir tidak sampai lima minit selepas dia tiba di rumah, sekali gus menguji kesabarannya sebagai seorang Muslim.

Namun, baginya, dia berpegang kepada prinsip bahawa tetamu perlu dilayan dengan baik, selaras dengan tuntutan agama Islam.

“Bayangkan ketika itu baru sampai rumah, penat memandu, dan waktu Maghrib pula sekitar jam 7 malam, jadi masa yang ada tidak lama.

“Sebagai tuan rumah, kita perlu jaga maruah. Isteri saya berada di dalam rumah, jadi saya jamu mereka di kawasan anjung kereta dengan air dan buah,” katanya.

Rusydi berkata, dia meluangkan masa sekitar 10 minit bersama jemaah tersebut berbincang mengenai keimanan sebelum mereka mendoakannya.

Menurutnya, pengalaman itu memberi kesedaran bahawa setiap pertemuan berkemungkinan membawa kebaikan yang tidak disangka-sangka.

“Mungkin antara mereka ada yang soleh dan doanya diangkat Allah. Alangkah ruginya jika saya menolak mereka begitu sahaja,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, Rusydi turut berpesan agar orang ramai menyambut jemaah tabligh sebagai tetamu sekiranya mampu dan dalam kapasiti masing-masing.

“Rasa seronok apabila ada orang yang menasihati kita ke arah kebaikan. Jika ada perkara yang tidak berkenan, ajaklah berbincang,” katanya.

Rata-rata pengguna Threads turut berkongsi mereka meminta nasihat daripada jemaah tabligh yang hadir ke rumah mereka.

Baca juga: PU Amin gesa ‘content’ syirik paranormal dihentikan, ustaz bukan kuli halau hantu