“Malu dan tak patut” – Ustazah Asma’ Harun tegur iklan libatkan pasangan belum berkahwin

Oleh MAISARAH AISYA

Pendakwah Ustazah Asma’ Harun, menegur trend ‘content’ di media sosial yang memaparkan kemesraan pasangan belum bernikah atas alasan kerja atau promosi.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Ustazah Asma’ memaklumkan perkara tersebut semakin dinormalisasikan dan melampaui batas syariah.

Dia melihat fenomena itu sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi apabila netizen lebih cenderung memuji berbanding menegur, sehingga mendorong lebih ramai individu menayangkan hubungan secara terbuka.

“Malu dan memang tak patut. Hentikanlah normalisasi pasangan belum nikah atau akan nikah, atas dasar kerja sekalipun, buat kandungan berlebihan.

“Netizen pula galak memuji, bukan menegur, akhirnya ramai ikut tayang ‘couple’ terbuka,” katanya di Facebook..

Ustazah Asma’ turut meluahkan rasa lebih kecewa apabila perkara tersebut melibatkan pemimpin masyarakat dan individu Muslim berpengaruh yang seharusnya menjadi contoh terbaik kepada golongan muda.

Menurutnya, situasi itu dibimbangi akan menjadi semakin parah menjelang Ramadan, khususnya apabila kandungan tidak patuh syariah digunakan secara meluas bagi tujuan pemasaran dan promosi produk sempena Aidilfitri.

“Sekarang sudah masuk bulan Rejab. Janganlah nanti bila Ramadan tiba, kandungan tak patuh syariah ini makin banyak semata-mata kerana nak buat iklan Raya,” tegasnya.

Dalam pada itu, dia turut menasihatkan pemilik produk dan busana agar tidak mengorbankan prinsip agama demi melariskan jualan atau mengejar tular, walaupun ia melanggar batas syarak.

“Adakah tidak mahu mencari keberkatan dalam rezeki? Atau asal dapat untung banyak, kemudian bersihkan dengan sedekah?

“Kebaikan dan keburukan tidak boleh dicampur aduk. Itu salah faham besar dan merupakan tipu daya iblis,” katanya lagi.

Baca juga: Video tular pukul pelajar madrasah: Ustaz mengaku bersalah, didenda RM18,200