Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf hari ini untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Keputusan untuk menolak permohonan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas meneliti segala afidavit dan hujahan termasuk lisan daripada kedua-dua pihak pemohon dan responden.
Difahamkan termasuk hari ini, Ismanira telah dipenjara selama 53 hari selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu, lapor Kosmo.
“Permohonan ditolak disebabkan tiada keadaan khas,” kata Datuk Aslam memetik laporan Kosmo ketika menolak rayuan Ismanira, 30, supaya dilepaskan sementara sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes berkenaan didengar.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin mendatangkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada 31 Oktober lalu, Hakim Dr Syahliza Warnoh mendapati ibu kepada dua anak itu bersalah atas pertuduhan berkenaan dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke atas Ismanira.
Ismanira juga diarahkan untuk pergi ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Allahyarham Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia pada 6 Disember 2023 di sebuah anak sungai yang berhampiran rumahnya di kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa yang berusia enam tahun ketika kejadian berlaku itu mulanya dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring di lokasi kejadian dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Baca juga: Sajat naik angin laporan dakwa dia meninggal dunia