Selamat Hari Ibu: Kenali Bonda PM Anwar, tokoh politik Bukit Mertajam Che Yan Hamid Hussein

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan manis buat semua wanita yang bergelar ibu bersempena dengan sambutan Hari Ibu pada hari ini.

Menerusi perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut merangkai pantun sebagai tanda penghargaan atas kasih sayang dan jasa mereka.

Anwar turut memuat naik gambar Allahyarham ibunya iaitu Che Yan Hamid Hussein yang diambil bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam hantaran tersebut.

“Burung melayang di puncak angkasa,

Hinggap sebentar di pohon jati,

Kasih ibu berkalung jasa,

Menjadi azimat terangi hati.

Selamat Hari Ibu!,” katanya dalam hantaran itu.

Perkongsian tersebut sudah pastinya menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai mengenai sosok wanita yang melahirkan dan mendidik pemimpin berpengaruh dalam arena politik itu.

Rupa-rupanya, ibu kepada Perdana Menteri itu juga bergiat cukup aktif di dalam bidang politik khususnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang walaupun bergelar suri rumah.

Berikut kami kongsikan kronologi kerjaya politik Che Yan Hamid Hussein yang pernah didedahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sebelum ini.

Difahamkan, Che Yan adalah seorang tokoh politik wanita Bukit Mertajam selepas bergiat aktif susulan menjadi ahli Kaum Ibu Umno ketika perjuangan menentang Malayan Union pada tahun 1946. 

Beliau kemudian diangkat menjadi Ahli Majlis Bandaran Bukit Mertajam pada Disember 1958 setelah berjaya memenangi pilihan raya kerajaan tempatan di ward (kawasan) Tanah Liat.

Che Yan ketika itu menewaskan calon wanita daripada parti Barisan Sosialis, Teoh Lye dan kerjayanya semakin berkembang apabila dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Bandaran Bukit Mertajam.

Namun perkara lebih mengagumkan adalah Che Yan merupakan satu-satunya ahli wanita dalam kepimpinan Majlis Bandaran Bukit Mertajam yang ketika itu diterajui oleh Pengerusi, Dr MPL Yegappan.

Pada masa sama, Che Yan yang ketika itu berusia 32 tahun sudah memiliki lapan orang anak termasuk Anwar Ibrahim kini menjadi sosok pemimpin politik cukup disegani termasuk di peringkat antarabangsa.

Menerusi pendedahan di platform Facebook itu, Steven Sim turut memuat naik gambar keratan akhbar pada tahun 1959 sewaktu Che Yan menerima darjah kebesaran bintang Ahli Mangku Negara dari Yang DiPertuan Agong ketika itu.

Keratan akhbar laporan Berita Harian bertajuk ‘Ibu Yang Dapat Kurniaan Diraja’ bertarikh 24 Jun 1959.

Baca juga: Sarawak berniat ambil alih lebih banyak entiti dan aset strategik dari Kerajaan Persekutuan