Suami risau tak dapat jumpa mak ayah, isteri enggan balik jumpa kakak ipar penyondol

Oleh MALAYSIADATELINE

Perkongsian seorang suami yang terpaksa berhadapan dengan dilema berpunca daripada isu rumah tangga abangnya telah berjaya mengundang perbincangan hangat di platform media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, isu tersebut memberi kesan besar terhadap hubungan isterinya dengan keluarganya sendiri sehingga menyebabkan wanita terbabit enggan pulang ke rumah ibu bapanya walaupun hanya untuk melawat.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, suami terbabit memaklumkan bahawa masalah bermula apabila abangnya berkahwin dengan wanita lain yang dikatakan ‘menyondol’ pernikahan terdahulu.

Situasi itu membuatkan isterinya yang sememangnya tidak menyukai sosok ‘penyondol’ enggan menjejakkan kaki lagi di rumah ibu bapanya sekiranya kakak ipar terbabit turut berada di kediaman berkenaan.

Oleh yang demikian, sang suami merasa bimbang jika pendirian isterinya itu menyebabkan mereka tidak dapat lagi pulang ke rumah untuk menziarahi ibu bapanya buat selama-lamanya selepas ini.

“Kakak ipar aku seorang penyondol. Jadi aku dengan isteri memang memang tak sukakan dia dan abang aku. Tetapi masalahnya isteri tak nak balik rumah mak ayah aku kalau penyondol dan abang ada di situ.

“Ikutkan niat jumpa mak ayah sahajalah. Jadi isteri patut buat tak peduli sahaja dengan dua ekor itu. Sudahlah dua ekor itu sekarang rajin menempel dekat rumah mak ayah aku,” kesalnya dalam perkongsian tersebut.

Dalam perkongsian sama, suami terbabit juga mengakui memiliki keinginan untuk pulang sendiri ke rumah tanpa ditemani isterinya namun wanita terbabit akan menarik mukanya sebaik diberitahu mengenai perkara itu.

Tujuan perkongsian dibuat tanpa mendedahkan identiti sebenarnya itu dipercayai untuk meminta pandangan orang ramai mengenai jalan penyelesaian patut diambil tanpa melukakan isteri sambil menjaga hati ibu bapanya.

Berikut adalah antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna Threads dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: Parkir di bahu jalan R&R, tiga kenderaan dilanggar treler